Iklan Leaderboard

Ahad, 30 Julai 2017

2 Lelaki jika menangis masih lagi lelaki

Macam semua tahu penyanyi vokalis sceamo Linkin Park, Chester Bennington telah bunuh diri di estetnya pada 20 Julai 2017. Ramai juga yang terkesan dengan kehilangannya memandangkan mereka antara pemuzik Nu-Metal yang meletup pada awal 2000-an dan banyak juga muzik mereka yang digemari ramai terutamanya dua album terawal mereka (Hybrid Theory dan Meteora).

Karya abam Aneruysm

Kematiannya yang dikatakan berpunca daripada kemurungan yang dihadapi sejak kecil lagi dengan menjadi mangsa seksual dan buli, menjalani pemulihan daripada dadah dan alkohol serta cuba untuk berubah genre muzik mereka. Semua dilakukan dan akhirnya telah memakan diri Chester dan menyebabkan dia mengambil cara mudah untuk menamatkan nyawanya.

Ramai juga yang sedih dan memberi ucapkan takziah kepada balu Chester dan rakan seperjuangan Mike Shinoda. Walau bagaimanapun, ada segelintir orang yang saya terbaca di media sosial yang mengatakan Chester seorang yang pengecut kerana bunuh diri. Dia beranggapan lelaki sebenar sepatutnya bertahan dengan semua cabaran. Belum lagi dengan vokalis KORN juga menyatakan perkara yang sama kerana sanggup meninggalkan isteri dan enam orang anak.

Dua kenyataan ini serta kes-kes jenayah berlaku seperti kes buli di UPNM, mat rempit, keganasan rumah tangga serta jenayah seksual membuatkan saya terfikir. Semua jenayah ini berkaitan dengan masalah kegagalan lelaki untuk menunjukkan kejantanan mereka. Agak mengarut kedengaran bukan? Namun, saya merasakan perlu kita menyentuh pemahaman dalam pembentukan identiti lelaki sejati bagi memahami penerangan saya.

Apakah yang menjadi penanda aras untuk kejantanan lelaki? Secara umum, lelaki perlu tampak gagah, berani, tidak mudah menangis dan kuat fizikal dan mental. Ini sememangnya kena dengan sifat alamiah lelaki yang akan menjadi ketua keluarga dan tanggungjawab yang dipikul membuatkan mereka perlu bersedia lebih daripada sepatutnya. Kebiasaannya ini tidak ada masalah tetapi kita terlupa satu masalah, lelaki adalah manusia juga; mereka tidak sempurna.

Ada kes biasa seperti lelaki lembut yang disebabkan persekitaran atau isu-isu tertentu. Mereka ini bersifat pasif dan femenin tetapi mereka masih lelaki. Rakan lelaki terutamanya yang masih budak sekolah rendah mereka akan ejek atau buli mereka yang nampak pelik. Cuma dalam kes ini, budak lembut ini menjadi mangsa. Mereka dibuli dan dipulau kerana sifat mereka. Ini juga berterusan sehingga sekolah menengah dengan bila semua sudah akil baligh, lagilah budak lelaki yang kononnya "alpha" dan cuba menonjol kemachoan mereka. Lelaki lembut ini juga semakin dipinggirkan dan boleh jadi menjadi mangsa seksual pada pembuli mereka.

Ada juga masalah lelaki ada "unspoken rule" untuk tidak menangis. Tangisan hanyalah untuk yang lemah dan perempuan sahaja. Ini secara tidak langsung menjadi tekanan mental kepada lelaki yang mereka tidak dibenarkan meluahkan emosi dan sebaliknya simpan kekusutan mereka dalam diri. Ini yang semua kena tahu, lelaki juga perlukan medium meluahkan perasaan. Bayangkan lelaki gagah boleh pula cair dengan teman wanita atau isteri mereka. Ini bukan mustahil kerana wanita ada keupayaan untuk memberi "safe zone" kepada lelaki untuk meluah perasaan dan menimbulkan emosi terpendam mereka.

Ketiadaan cara lelaki untuk meluah perasaan dan tekanan untuk menjadi lelaki macho, natijahnya lelaki boleh tertekan kerana perlu memendam mental dan sentiasa tunjuk kejantanan mereka pada orang yang tidak berkaitan dengan hidup mereka. Bila lelaki selalu kacau perempuan sampai bersentuh-sentuh atau menggunakan fizikal badan, kita buat tak kisah kerana itu sifat lelaki; "boy will be boys". Bila lelaki mengadu kena gangguan seksual, kita gelakkan kerana anggap dia lembik. Bila lelaki perangai lembut, kita pulaukan kerana mereka berbeza dengan kita.

What they think they look
What are they look actually

Orang ingat gaduh kononnya macam Malik (atas) padahal dia lawan serupa cap ayam Fadhil (bawah)

Jadi, kita akan menghadapai dua kesan iaitu lelaki "alpha" akan anggap mereka buat benda gila dan bukan-bukan bagi menunjukkan kejantanan mereka dan lelaki pasif akan menghadapi masalah disisihkan oleh komuniti lelaki sendiri. Kita patut berfikir, yang menjadi gangster bajet macam filem "Young and Dangerous" sampai nak pukul orang sampai mati itu lelaki jantan, bukannya lembut. Yang menjadi suami yang hidup mengharap gaji isteri sambil goyang kaki dengan memukul isteri itu lelaki jantan, bukan lembut. Yang buat jenayah seksual sampai perkosa atau liwat anak orang itu lelaki jantan, bukan lembut.


Belum lagi saya masuk yang sebenarnya memang wujud statistik mengatakan lelaki juga menjadi mangsa serangan seksual. Kalau tak, kenapa ada cerita budak gay dekat sekolah asrama penuh? Benda tak timbul tanpa sebab. Lelaki pun kena jadi mangsa keganasan rumah tangga seperti suami kena pukul isteri atau teman wanita pukul teman lelaki sampai masuk hospital. Malangnya, kedua masalah ini lelaki takut untuk tampil kedepan kerana terkesan dengan stigma lelaki lembik kerana tidak cuba melawan. Akhirnya lelaki ini terpaksa menelan semua kesulitan dan mereka terkapai-pakai mencari bantuan. Sebahagiannya dibawa beban hingga akhir hayat. Namun, ramai juga tewas dan bunuh diri. Jadi, kesannya juga berbalik kepada komuniti lelaki juga.

Perlukah lelaki diklasifikasi semula? Ini juga perlu diperhalusi kerana ia menyentuh isu sensatif masyarakat. Ada orang konservatif mahu status lelaki dikekalkan kerana masih releven dengan sifat alamiah yang semula jadi. Ada juga golongan SJW yang menekan lelaki yang dikatakan "cis white male" sebagai perosak masyarakat dan patut mati. Saya pernah tengok video orang Alt-Right yang menentang lelaki beta kerana mereka tidak dibenarkan menjadi lelaki akibat tekanan masyarakat SJW.

Ada isi yang saya setuju namun saya juga jelek dengan orang itu kerana cara untuk dia menolong adalah mendaftarkan lelaki dalam gim tinju dan cuba membeli motosikal Harley-Davidson. Ini juga mesej yang salah, adalah lelaki perlu berduit untuk tunjukkan dia lelaki? Amat materialistik bagi solusi yang ditawarkan takala di Amerika Syarikat mengalami perang budaya (culture war) yang menekan idea lelaki sejati.

Kita perlu membantu didik lelaki untuk menjadi lelaki budiman (Gentleman). Lelaki yang sanggup melindungi orang yang lemah dan wanita daripada orang jahat. Benda ini sudah wujud lama dalam sejarah Zaman Pertengahan di Eropah. Jangan lupa sejarah Khalifah Al-Mu'tashim yang sanggup mengepung sebuah bandar selama berbulan kerana ingin melindungi maruah seorang rakyat wanita yang menjerit namanya. Idea budiman telah wujud berzaman dahulu namun kita pula sudah melupakan amalan tersebut.

Selepas ini, kita patut mengajar lelaki yang menangis itu tiada masalah, menangislah sepuasnya kemudian kesat air mata dan mula jalan ke hadapan. Ajar juga lelaki sejati seharusnya kuat mental dan fizikal tetapi masih ada sifat timbang rasa dan simpati. Lelaki yang punyai sifat penyayang dan sanggup menerima  mereka yang tidak menepati sifat jantan dan cuba menolong mereka meningkatkan nilai diri mereka. Lelaki ini boleh jadi merupakan kawan-kawan kepada adik kita, bakal ipar kepada adik dan kakak kita, kawan sekerja bahkan orang asing yang sanggup menolong takala orang yang kita kenali ditimpa masalah. Ingat, lelaki juga seorang manusia.

Ingat, lelaki menangis bukan kerana lemah tetapi kerana dia sudah lama pendam rasa


Kuro Kyoshiro
Seorang Lelaki

2 ulasan:

  1. Setuju sangat..Perkara yang tak patut tak perlu didengar sangat pandangan orang lain, bukan semuanya betul. Tak salah pun menangis sebentar sebelum bangun semula dengan semangat yang baru :)

    BalasPadam
  2. tak salah pun untuk lelaki menangis kan. menngis tu lumrah manusia

    BalasPadam

Walaupun komen Anonymous/Tanpa Nama dibenarkan, mohon gunakan ID Berdaftar untuk mengelakkan dari berlaku kecurian identiti. Namun sekiranya ingin menggunakan Tanpa Nama, mohon letakkan Nickname untuk memudahkan komunikasi dan mengelakkan kekeliruan. Namun sekiranya Nickname yang digunakan dikenalpasti milik ID Berdaftar orang lain, maka komen akan dipadam untuk mengelakkan fitnah dan salah faham.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...